Rabu, 26 Januari 2011

Hakikat Hidup Manusia ialah Rohaninya

BAB 1
HAKIKAT HIDUP MANUSIA

HAKIKAT HIDUP MANUSIA
             Manusia dihidupkan di dunia, hasil gabungan rohani, jasmani dan akal. Tiada rohani manusia dikatakan mayat. Tiada jasmani, manusia dikatakan arwah. Tiada akal manusia dikatakan gila. Tiada lagi pengurusan hidup diperlukan. Tiada juga hukum diperincikan.
Rohani alam ghaib, unsur ketuhanan bersifat kekal. Berada bersama  Allah di alam rahim. Akan kembali semula kepada Allah di alam akhirat.  Roh adalah hakikat manusia yang sebenarnya. . Ia datang dari Allah berbekalkan kalimah syahadah: Tiada Tuhan Melainkan Allah. Inilah benih keimanan,  Kepercayaan kepada Allah.  
Di alam dunia, rohani diduga dengan nikmat dan bencana. Di alam barzakh rohani diuji, siapa yang beriman, siapa yang kafir, siapa pula yang munafik. Di alam akhirat, rohani akan ditentukan nasibnya. Siapa yang berat amalan baik akan kembali semula ke syurga, Siapa yang berat amalan jahatnya akan ke neraka.
Jasmani alam  nyata, unsur kebendaan bersifat sementara. Dicipta, gabungan 4 unsur: air, api, angin dan tanah. Berfungsi secara bersepadu. Tiada air, jasad kekeringan. Tiada api, jasad kaku kesejukan. Tiada angin jasad tidak dapat bekalan oksigen. Tiada debu tanah, kita tidak boleh hidup di dunia.
Bila empat unsur ini tidak ada atau tercemar, roh akan keluar dari jasad.  Jasad dikembalikan  ke tanah. Dikitar semula. Air kembali kepada air. Api kembali kepada api. Angin kembali kepada angin. Debu kembali kepada tanah.
Yang tinggal hanya benih manusia, “ajabuzzanbi”. Bergaul dengan debu dalam bumi, sementara menunggu bumi hancur atau kiamat. .
 Akal unsur nilai bersifat aktif. Ia hanya aktif semasa roh masih berada bersama jasad. Diberikan Allah menyusuri  anugerah pendengaran dan penglihatan.  
Akal bertugas mendapatkan maklumat melalui alam dan manusia. Melalui pertanyaan, apadia.  Lalu dijadikan ilmu, kenapa manusia dicipta dalam satu unit dengan bumi.  Keduanya memerlukan: air, api, angin dan tanah.  Kalau tidak, manusia akan mati. Bumi akan kiamat.
Ilmu ini ditingkatkan kepada hikmah/falsafah, bagaimana ianya boleh berlaku.  Jawapannya bermula dari hujan. Hujan turun dari langit, menimpa puncak gunung. Mengalir ke lembah menjadi sungai.. Terus ke muara menjadi laut.
Di daratan, hujan menyuburkan tumbuh-tumbuhan, membekalkan manusia karbohidrat dan vitamin. Di lautnya dihidupkan ikan telur beribu, membekalkan manusia dengan protein.
Hanya dengan ini saja kita boleh hidup di bumi menerima dugaan. Bersyukur bila dapat nikmat. Bersabar bila dapat bencana.  
Akhirnya disudahi dengan  tasawuf: Apa kesudahan hidup kita. Jawapannya, bermula dengan kematian. Kemana roh pergi selepas keluar dari jasad. Apa jadi pada jasad selepas dikebumikan.  
Jawapannya berada di sebalik hari kiamat. Bila mati roh keluar meneruskan kembaranya untuk kembali  ke syurga di mana Adam ditempatkan pada awal kejadiannya. Tapi sebelum itu, roh singgah sebentar di alam barzakh. Menunggu roh manusia yang keluar pada hari kiamat berhimpun sama. .
Di sini,  kalimah syahadah yang diikrarkan rohani sebelum bercantum dengan jasad di dunia, diuji statusnya.  Untuk menentukan, siapa yang beriman, siapa yang kafir dan siapa pula yang munafik.  Kekal di sana sehingga berlakunya kiamat.
Bila kiamat berlaku, bumi hancur menjadi debu. Berterbangan di udara bersama benih kita seperti kapas dihembus angin. Tidak lama lepas itu, debu dan benih kita mendap ke bawah. Membina padang yang luas, dinamakan Padang Mahsyar.
Dalam masa yang sama, roh yang berada di alam barzakh menyerbu keluar, mendapatkan benih masing-masing. Lalu bangkit semula, sama seperti bentuk asal di bumi. Tiada yang tua, tidak juga kanak-kanak. Semuanya muda-muda belaka.
Berarak dalam tiga kumpulan: beriman, kafir dan munafik. Menemui Allah untuk menerima suratan amalan  masing-masing. Siapa yang berat amalan baik, akan kembali semula ke syurga. Siapa yang ringan amalan baik, akan ke neraka. Membersihkan dosa yang ada sebelum layak menemui Allah dalam syurga.
Untuk memastikan manusia akan kembali semula ke syurga, Allah turunkan al Quran (Kalam Allah) sebagai petunjuk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan