Khamis, 8 September 2011



BAB 30



BERBURU MUSIM HAJI



Dilarang berburu semasa ihram haji bukan Allah mahu menyekat makanan yang disukai manusia selepas beriman dan bertakwa kepadaNya. Allah tetap suka mereka yang melakukan kebajikan. Tapi hanya sekadar menguji  siapa yang sebenarnya beriman dan bertakwa kepada Allah. Kalau membunuh dengan sengaja, kifaratnya  sama dengan nilai binatang yang dibunuh 



Sebagai ganti,  Allah halalkan  menangkap ikan di laut. Ia ditujukan khusus kepada mereka yang sudah berniat ihram haji  ke Kaabah. Kerana itu, takutlah kepada Allah. Di akhirat nanti kita semua akan dihimpunkan kepadanya.



Kaabah adalah tempat berhimpunnya  manusia seluruh dunia. Untuk memberitahu bahawa Allah tahu apa yang ada di langit dan di bumi. Dan  Allah menyediakan azab berganda di akhirat untuk mereka jika ingar dengan perintahNya.  



Namun Dia tetap maha pengampun, kerana Dia masih sayang  kepada hambanya, manusia. Allah tetap tahu apa yang kita nyatakan dan apa yang kita sembunyikan. 



Allah memberi perbandingan. Tentulah tidak sama antara buah yang busuk dengan buah yang baik, walaupun yang busuk itu menakjubkan.  Bertakwalah kepada Allah mudah-mudahan kita akan mendapat kemenangan di akhirat nanti.  



Allah ingatkan kita, umat terkemudian supaya jangan terlalu banyak soalan tentang Allah.  Nanti ia mungkin akan menyusahkan diri sendiri. Kalau dilakukan semasa al Quran masih diturunkan, mungkin ia boleh diampunkan, kerana Allah maha pengamun. Peristiwa begini pernah berlaku kepada beberapa umat sebelum Muhamad. Bila dijawab, mereka bukan menjadi  insaf, tapi hati mereka semakin keras.



Buhirah, Saibah, Wasilah dan Ham adalah Tuhan mereka jenamakan sendiri. Kerana itu, bila diajak: Marilah kita beriman dengan al Quran yang diterima Muhamad. Mereka menjawab sombong:  Memadailah kami menyembah apa yang disembah ibu bapa kami. Walaupun  amalan itu hanya ikut-ikutan.



Allah ingatkan kita, orang beriman. Kekalkan kepercayaan  kepada Muhamad dan al Quran. Kita tidak akan dapat disesatkan mereka, bila  sudah mendapat petunjuk.  Akhirnya kita akan dihimpunkan di depan Allah di akhirat nanti. Semua perbuatan kita akan didedahkan.



ALLAH GESA ISA INGAT NIKMAT YANG DITERIMANYA (5:110-120)



Nikmat untuk Isa adalah istimewa. Tidak pernah diberikan Allah kepada sesiapa pun.



Boleh bercakap dengan manusia semasa  dalam buaian. Diberi ilmu dan hikmat seperti dalam  Taurat dan Injil. Diberi kelebihan boleh menghidupkan burung yang diperbuat daripada tanah. Boleh  mengubat penyakit sopak. Menghidupkan orang mati. Namun semuanya itu dituduh oleh orang kafir sebagai sihir.



Satu hari, Allah memerintahkan kaum Hawariyun: Berimanlah dengan Allah dan rasul-Ku. Mereka terus menjawab: Ya, kami beriman dan  naik saksi, kami akan melaksanakan cara hidup Islam



Tapi tidak lama selepas itu, Hawariyun menuntut: Wahai Isa, anak Maryam, turunkan pula hidangan dari langit. Isa menjawab: Bertakwalah kepada Allah, jika kamu orang beriman. Mereka menjawab selamba: Kami hanya nak merasa, mudah-mudahan ia boleh menenangkan hati kami. Selepas itu barulah kami yakin, seruan kamu adalah benar.



Isa anak Maryam menadah tangan:   Ya Allah, tunaikanlah permintaan mereka ini. Jadikanlah permintaan ini kali pertama  dan kali terakhir, sebagai bukti kekuasaan Engkau. Allah perkenankan permohonan Isa: Baiklah Aku akan turunkan seperti mereka pinta. Siapa yang tidak juga mahu beriman selepas ini, mereka akan diazab dengan azab yang belum  pernah berikan kepada sesiapa pun di alam ini.



ISA MENEMPELAK KAUMNYA (5:116-120) 



Untuk membetulkan kedudukan Isa yang sedang hangat ketika itu, Allah bertanya  Isa: Wahai Isa anak Maryam,  apakah kamu yang memberitahu manusia supaya menjadikan  kamu dan ibumu sebagai Tuhan. Isa menjawab sambil merendahkan diri: Maha suci Engkau darinya.  Jika aku yang berkata demikian, awal-awal lagi Engkau sudah tahu.



Kerana Engkau tahu apa yang tersembunyi di sudut hati kami. Sedangkan aku tidak tahu apa hakikat Engkau yang sebenarnya. Tidak ada apa yang aku katakan kepada mereka, semuanya dari apa yang Engkau suruh sampaikan.


Rabu, 24 Ogos 2011


BAB 29





HAKIKAT KELAHIRAN ISA AL MASIH ANAK MARYAM (5:67-76)



Namun demikian, Allah memberi perangsang supaya Nabi meneruskan dakwahnya. Allah sentiasa memelihara  keselamatannya. Nabi memberi amaran kepada ahlilkitab: Wahai ahlilkitab, kamu tidak akan dapat apa-apa sehingga melaksanakan hukum seperti tersurat dalam Taurat dan Injil.



Tapi, nasihat ini membuatkan mereka bertambah keingkarannya. Allah beritahu nabi, jangan mudah putus asa dengan gelagat mereka itu. Kalau mereka beriman dengan Allah, hari akhirat dan terus beramal soleh,  habuannya tidak perlu dirisaukan lagi. Tatap ada.



Sebenarnya Allah telah menerima permohonan mereka supaya dilantik rasul dari kalangan mereka sendiri. Tetapi, apabila rasul diutus mereka tolak mentah-mentah, malah ada pula yang dibunuh. Dengan keyakinan, mereka tidak akan mendapat bencana kerana sikap buruk mereka itu.



Allah menegaskan, siapa yang mengatakan Allah itu adalah Isa anak maryam dengan sendiri menjadi kafir.  Malah Isa sendiri pun pernah berkata: Wahai Bani Isrial,  sembah Allah, Tuhan aku dan Tuhan kamu juga. Kerana itu siapa yang mensyirikkan Allah dengan makhluk ciptaannya sendiri, diharamkan untuk kembali semula ke syurga. Tempatnya adalah di neraka.



Kafir juga hukumnya bagi mereka yang mengatakan Allah itu tiga dalam satu. Kerana tiada Tuhan yang lain selain dari Allah.  Jika tidak taubat, mereka akan ke neraka juga. Nabi cuba memujuk: Kenapa kamu tidak mahu taubat dan minta ampun dari-Nya. Bukankah Allah itu maha pengampun lagi penyayang.



Sebenarnya, Isa anak Maryam itu adalah seorang rasul, sama seperti  rasul sebelumnya. Ibunya seorang yang benar. Kedua-duanya memerlukan makanan. Renungkanlah cara Allah menunjukkan  tanda kekuasaannya. Apa lagi alasan hendak diberikan kerana masih mengatakan Allah itu, Tuhan tiga dalam satu.



Nabi menempelak: Apakah kamu masih mahu menyembah Tuhan yang lain dari Allah. Bukankah ia  tidak memiliki apa-apa  Tidak boleh memudaratkan, tidak juga memberi manfaat.







ALLAH PERNAH MELAKNAT BANI ISRAIL (5:77-88)



Nabi masih berharap:  Wahai ahlilkitab, kenapa masih lagi melakukan perbuatan melampau batas, sedangkan kamu masih berpegang dengan ajaran Taurat dan Injil. Janganlah sampai kamu terpengaruh dengan perbuatan mereka yang telah disesatkan Allah dari jalan yang sebenarnya.



Semasa Daud dan Isa anak Maryam, mereka pernah dilaknat Allah kerana perbuatan melampau mereka. Mereka tidak berhajat hendak mencegah kemungkaran yang pernah berlaku. Kalaulah mereka beriman dengan Allah dan rasul serta kitab yang diterimanya tentu mereka tidak akan menolak  rasul mereka sebagai ketua



Allah memperakukan, Yahudi lebih dahsyat permusuhannya dengan Islam. Orang Nasrani lebih lembut, bertimbang rasa untuk menjalin  persahabatnnya. Orang Nasrani, sebaik saja mendengar berita al Quran diturunan kepada Muhamad, air matanya berlinangan kerana mengetahui ia adaah benar. Mereka terus berdoa: Ya Allah kami beriman, masukkanlah kami dalam golongan orang beriman dengan Muhamad. Masukkanlah kami ke dalam kumpulan orang soleh. Allah terima ikrar mereka, lalu dimasukkan ke dalam syurga kekal abad di dalamnya.





ALLAH INGATKAN ORANG BERIMAN (5:87-95)



Ingatan 1, Jangan sekali-kali kita mengharamkan benda yang baik dan halal. Jangan pula kita melampaui batas dibenarkan. Allah tidak suka dengan orang yang suka melampaui batas.  Bertakwalah jika kita orang beriman.



Jangan juga kita suka mempermainkan sumpah. Kalau hendak membatalkan sumpah, kita dikehendaki membayar kifarat dengan memberi makan 60 orang miskin dari jenis bahan makan yang kita makan. Agar kita boleh belajar mensyukuri Allah.  



Ingatan 2, Ketahuilah arak, judi, berhala dan tenung nasib itu adalah najis dari perbuatan syaitan. Kita perlu menjauhinya jika mahu mendapat kemenangan di akhirat.  Ia menjadikan alat syaitan untuk memecah belahkan kehidupan manusia dan melupakan Allah dan mendirikan solat.



Taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, Muhamad.  Kalau kita ingkar, ia tidak menjejaskan tugas kerasulannya, kerana dia berfungsi untuk menyampaikan saja.   

Selasa, 16 Ogos 2011

DASAR ORANG MUNAFIK MEMBUAT PEMBOHONGAN








Siapa yang menentang Allah dan rasul dengan melakukan kerosakan di bumi, seperti membunuh atau menyalib atau memotong tangan dan kaki semuanya itu adalah hukum di dunia saja. Di akhirat mereka tetap akan dibicarakan lagi. Namun mereka tetap juga ke neraka.  


Kerana itu Allah mahu orang beriman bertakwa kepada Allah. Berjihad ke arah melaksanakan perintah-Nya. Mudah-mudahan kita akan dapat kemenangan di dunia dan di akhirat.  Masa itu nanti, orang kafir  kalau  mempunyai harta sepenuh bumi mereka akan gunakan untuk menebus diri.  Bila sudah berada di neraka, mereka masih mencari helah  hendak keluar darinya. Tapi tiada lagi jalan keluar untuk mereka.


Untuk keharmonian hidup masyarakat, Allah tetapkan setiap pencuri perlu dipotong tangannya sebagai pengajaran. Namun siapa yang sempat taubat dan terus melakukan kebajikan Allah sedia memaafkannya.  Atas dasar Allah pemilik langit dan bumi.  Dia berhak mengazab atau mengampunkan siapa yang dikehendakiNya. 
 

 Allah menasihati nabi, kalau Yahudi datang bertemu, hukumlah mereka atau tidak perlu melayan mereka. Ia tidak merosakkan risalah yang dibawa nabi. Kalau hendak menghukum,  berhukumlah dengna adil. 


ALLAH DEDAHKAN PULA GELAGAT NASRANI  (5:46-50)


        Kematian Musa,  diganti oleh  Isa anak Maryam menjadi rasul. Menerima Injil,  sebagai lanjutan kepada Taurat.  Juga membawa cahaya petunjuk   dan nasihat kepada orang bertakwa. Untuk dijadikan sumber berhukum  di kalangan Bani Isrial. Siapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah, mereka adalah fasiq.


Akhirnya, Allah turunkan al Quran, wahyu yang akhir. Juga memperakukan kebenaran kandungan Taurat dan Injil. Berhukumlah dengan al Quran. Jangan ikutkan gelagat mereka yang pernah menyembunyikan beberapa fakta utama dalamnya. Sebenarnya, jika Allah mahu Dia boleh jadikan mereka satu umat yang bersatu. Tapi sengaja Allah biarkan untuk menduga,  siapa nyang suka membuat kebajikan. Ingatlah kita semua akan kembali semula kepada Allah di akhirat nanti. Semua  yang dipertelingkahkan akan didedahkan.


Kerana itu, jika hendak berhukum, berhukumlah dengan kitab yang diturunkan Allah, jangan ikutkan gelagat mereka. Nanti kita akan dipesongkan dari mengikut ajaran al Quran.  Akhirnya, kita sendiri akan menerima  musibatnya.
 

Apakah kita mahu bersekongkol dengan mereka,  melaksanakan hukum jahiliah. Hukum manakah yang lebih baik, jika tidak hukum Allah.


ALLAH INGATKAN ORANG BERIMAN (5:51-66)
 

Ingatan pertama, Kerana itu jangan menjadikan orang Yahudi dan orang Nasrani itu sebagai pemimpin. Nanti kita akan terpengaruh dengan perbuatan mereka. Allah tidak akan memberikan petunjuknya lagi. Siapa yang menyokongnya,   mereka adalah orang munafik. 


Ingatan kedua, Siapa yang murtad atau keluar dari Islam, mereka akan tetap bersekongkol dengan mereka. Akibatnya mengukuhkan kekuatan orang kafir, melemahkan kesatuan orang beriman. Untuk itu berjuanglah ke jalan Allah tanpa takut-takut. Nanti Allah akan limpahkan kelebihannya kepada kita.
 

Ketahuilah pemimpin kita ialah Allah dan rasul serta orang beriman yang sentiasa mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan patut perintah Allah. Mereka sentiasa mendapat pertolongan Allah.
 

Ingatan ketiga, Jangan menjadikan mereka yang pernah mempersendakan cara hidup Islam, sebagai ketua. Nanti bila diajak menunaikan solat mereka akan mengejek. Masa itu mereka tidak lagi menggunakan akal.


Nabi bertanya mereka: Wahai ahlilkitab, apakah kamu anggap kami bersalah kerana hanya kami beriman dengan Allah dan kitabnya. Bukankah kaum kamu pernah disumpah menjadi kera kerana melanggar perintah Allah. Memang terdapat ramai antara mereka yang berlumba-lumba membuat kerosakan dan memakan harta haram. 


Namun mereka tetap mendakwa: Tangan Allah terbelenggu - tak boleh buat ap-apa. Sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu. Mereka tetap dilaknat kerana tuduhan itu. Malah tangan Allah tetap terbuka menaburkan rezekinya tanpa batas. Lalu Allah lahirkan sikap benci mebenci anatra satu sama lain hingga kiamat. Bila mereka cuba menyerang orang beriman, Allah padamkan.  Kekallah mereka melakukan kerosakan di bumi



Kalaulah mereka melaksanakan hukum seperti yang diterdapat dalam Taurat dan Injil nescaya akan lahir dari kalangan mereka yang suka membuat kebajikan dan bertindak pertengahan.  Tapi masihramai yang mengekalkan perangai lamanya. 66   

Rabu, 10 Ogos 2011


BAB 27



ALLAH BAWAKAN KISAH MUSA DENGAN PENGIKUTNYA (5:12-5)

Allah pernah menerima ikrar dari Bani Israil, setelah memilih seramai 12 ketua untuk dua belas  kumpulan.  Allah memberikan pengakuannya: Aku akan tetap bersama kamu, selagi kamu tetap mendirikan solat dan mengeluarkan zakat, beriman dengan para rasul, sentiasa membantu menyibarkan risalahnya. Allah mahu kita hutangkan Dia dengan hutang yang baik. Kalau kita lakukan  Allah sedia menghapuskan dosa kejahatan kita. Di akhirat terus dimasukkan ke syurga.   Siapa yang menolak selepas ini, mereka terdiri dari orang sesat.
 

Olehsebab mereka membatalkan ikrar yang diberikan, Allah masuk mereka dalam kumpulan terkutuk. Hati mereka menjadi keras, lebih keras lagi dari batu. Mereka ubah beberapa ayat Taurat dan Injil. Mereka hapuskan ayat yang menjanjikan kelahiran Muhamad. Pengkhianatan  mereka ini, akan terus berlaku, kecuali beberapa orang yang beriman. Namun Allah berpesan kepada Musa, maafkan dan bebaskan mereka. Allah suka orang yang membuat kebajikan.
 

Malah orang Nasrani juga telah memberikan ikrarnya kepada Allah. Tapi mereka sama juga seperti Yahudi. Semua ikrar yang dibuat dilupakan.  Lalu lahirlah sikap permusuhan antara mereka sampai kiamat nanti. Di sana nanti semua perbuatannya akan didedahkan.


Lalu Allah ingatkan ahlikitab: Wahai ahlilkitab, bukankah rasul sudah datang menjelaskan apa yang kamu sembunyikan, seperti disebut dalam Taurat dan Injil. Sekarang al Quran sudah diturunkan membawa cahaya petunjuk dan penjelasan yang lengkap.


Ia menjanjikan petunjuk ke atas mereka yang mengikut Muhamad. Ia akan membawa kita keluar dari gelap akidah kepada cahaya keimanan. Juga sebagai petunjuk jalan yang lurus untuk kita kembali ke syurga.  16
 

YAHUDI  DAN NASRANI  MENDAKWA MEREKA ANAK TUHAN (5:17-19)


Siapa yang mengatakan Isa al Masih itu Tuhan, mereka adalah kafir.  Siapakah yang dapat menyelamatkan Isa al Masih, jika dia ditimpa bencana. Bukankah pemilik langit dan  bumi ini Allah. Dia  mencipta apa yang Dia kehendaki. Itu sebab dikatakan Allah Maha Berkuasa


Semua dakwaan ini dilahirkan oleh Yahudi dan Nasrani. Mereka adalah anak Tuhan dan kekasihnya. Nabi menempelak: Kalau benar kenapa kaummu pernah diazab Allah sebelum ini. Itu menunjukkan mereka adalah manusia biasa. Diberi keampunan bila diminta. Akhirnya kita akan kembali semula kepada-Nya di akhirat nanti. 


DIALOG MUSA DENGAN BANI ISRAIL (5:20-26) 

MUSA        Wahai kaumku, bersyukurlah dengan nikmat yang diterima. Rasul telah dilantik dari kalangan kamu. Lalu diangkat menjadi raja. Diberikan mukjizat. Kemudian disuruh masuk ke Batulmuqadas, bandar suci. Jangan sekali-kali kamu melarikan diri, nanti kamu akan kerugian.

KAUMNYA   Wahai Musa, di sana  ada manusia yang suka menyeksa Orang lain. Pergilah kamu memerangi mereka, kami tidak akan pergi. Biarkan kami duduk di sini.

MUSA        Ya Allah, aku tidak memiliki apa-apa kuasa kecuali ke atas diriku sendiri. Pisahkanlah kami dengan kaum yang zalim itu.

ALLAH       Baiklah, mereka diharamkan dari masuk Baitulmuqadis. Mereka tersesat di Padang Teh selama 40 tahun. Jangan bersedih dengan mereka itu.
 

ALLAH BANDINGKAN DENGAN KISAH ANAK ADAM (5:27-34)
 

Allah bawakan kisah anak Adam.  Habil dan Qabil diperintahkan membuat qurban   untuk menentukan siapa yang benar. Qurban Habil diterima, qurban Qabil ditolak.  Qabil tidak  puas hati. Lalu dia  bersumpah: Aku bersumpah akan membunuh kamu.
 

Habil menjawab: Kalau kau hendak bunuh,  bunuhlah, aku tidak akan melawan. Aku lebih takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam. Nanti, dosa membunuh aku  kamu  akan tanggung  dalam neraka.
 

Qabil terus terpengaruh oleh bisikan iblis. Habil dibunuh. Selepas itu dia menyesal tidak sudah. Tidak tahu apa hendak dilakukan ke atas mayat adiknya.


Allah utus dua ekor gagak bergaduh, betul-betul  di depannya.  Sekor darinya mati dan  jatuh ke bumi. Gagak yang hidup terus menggali pasir di depannya. Kemudian menolaknya  dan mengambusnya. Qabil berbisik sendirian: Tidak sangka aku lebih bodoh dari gagak hitam ini.


Atas dasar ini Allah tetapkan, siapa yang membunuh bermakna mereka membunuh seluruh manusia. Siapa yang mengampunkannya bermakna kita telah menghidupan seluruh manusia. Disebab seumpama peristiwa anak-anak Adam ini maka Allah mengutus para rasul membawa kitab sebagai petunjuk. 

Rabu, 3 Ogos 2011


5

SURAH AL MAIDAH

(120 ayat)








Allah mengingatkan orang beriman. Tunaikan janji dibuat.  Dihalalkan binatang ternakan untuk dimakan. Kecuali  binatang buruan semasa dalam ihram haji.



Sekali lagi Allah mengingatkan orang beriman.Jangan melanggar sucian Bulan Haram. Jangan menghalang binatang korban dari di bawa ke Kaabah. Bila sudah tahalul, boleh kita berburu semula. Jangan pula kita bertindak melampaui batas, menghalang mereka hendak ke Masjidilhram. Bertolong-tolonganlah untuk melakukan kebajikan dan mendapatkan ketakwaan. Jangan sekali-kali cuba tolong-menolong untuk membuat kajahatan. Ingatlah balasan Allah bukan sebarang azab.



Yang diharamkan ialah bangkai, darah, daging babi, sembelihan bukan kerana Allah. Binatang yang dibunuh binatang buas kecuali mana yang sempat disembelih. Yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati ditaduk, yang mati dibunuh serigala, kecuali jika ia sempat disembelih.   Semuanya itu perbuatan fasiq. Dengan pengharaman ini, orang kafir amat kecewa dengan peraturan baru ini. Jangan takut kepada mereka, takutlah kepada Allah.



Dengan pengharaman ini, Orang kafir berasa amat kecewa. Selepas itu Allah mengisytiharkan: Hari ini, Aku sempurnakan cara hidup kamu. Aku lengkapkan  nikmat yang kamu perlukan. Dengan ini sempurnalah cara hidup Islam menjadi amalan  kamu.  Namun Allah izinkan kita memakan benda yang diharamkan itu sekadar perlu untuk mendapatkan tenaga.  Ia tidak dianggap salah oleh Allah. Mintalah keampunan atas perbuatan tersebut, Dia sedia mengampunkannya.



Dalam waktu sama Allah tetapkan juga jenis makanan yang dihalalkan.  Kita dikehendaki memakan dari jenis  makanan yang baik, termasuk yang ditangkap oleh binatang buruan yang ditangkap oleh anjing yang terlatih. Dibenarkan memakan makanan yang dimasak oleh ahlilkitab.  Sama seperti perempuan mereka boleh dikahwini setalah diberikan mas kahwinnya. Siapa yang kafir selepas beriman, semua amalan baiknya hilang begitu saja.
 

ALLAH MENGINGATKAN ORANG BERIMAN  (5:6-11).


Ingatan pertama, bila hendak menunaikan solat, kita dikehendaki membersihkan  rohani dari hadas kecil dengan berwuduk. Iaitu, membasuh muka, membasuh kedua tangan hingga ke siku. Menyapu kepala dan membasuh kedua kaki hingga ke buku lali.



Kalau kita berhadas besar, perlu dibersihkan dengan  mandi wajib. Kalau kita sakit, tidak boleh kena air, atau musafir, atau membuang air besar atau kecil, atau bersentuhan dengan perempuan, kalau tidak ada air, kita dibenarkan bertayamum, sebagai ganti wuduk dan mandi wajib. Itulah caranya Allah meringankan setiap amalan yang diwajibkan. Dengan harapan kita akan bersyukur.   



Kerana itu ingatlah selalu  nikmat yang diterima seperti dijanjikan.  Setelah kita menyatakan ikrar akan taat dengan perintah Allah. Sama ada secara terangan atau bersembunyi



Ingatan kedua, Allah mahu kita mempunyai iltizam yang kuat untuk memperjuangkan cara hidup Islam dan menegakkan kebenaran demi mendapatkan keredaan Ilahi. Sebaliknya jangan pula kita cuba berlumba-lumba untuk menanamkan bibit-bibit fitnah dan kebencian sesama orang beriman. Adillah dalam semua perbuatan kerana itulah sikap yang lebih hampit kepada ketakwaan.  Ingatlah, semuanya itu  akan dibentangkan di Mahsyar nanti.



Jangan sekali-kali kita berprasangka dengan seseorang atau dengan satu-satu keluarga atau dengan satu-satu masyarakat atau dengan satu-satu bangsa atau dengan sesebuah negara.



Allah  janjikan ke atas orang beriman dan beramal soleh, keampunan dan ganjaran berganda. Kalau menolaknya, Allah sediakan pula neraka jahanam.



Ingatan  ketiga, Allah juga mahu  kita, orang beriman, ingat selalu dengan nikmat yang diperoleh. Dengan itu diharap, jika ada orang jahat yang hendak menyamun, umpamanya   Allah akan tutup hati mereka, sebaik saja mereka melihat kita. Teruskan berserah diri  kepada Allah

Selasa, 26 Julai 2011



BAB 25



AHLILKITAB MINTA MELIHAT ALLAH (4:148-155)


Allah tidak suka kita mencerca orang beriman secara terang-terangan, kecuali mereka dizalimi.  Kalau kita memberi sesuatu secara terang atau bersembunyi dan bersedia memaafkan mereka yang melakukan kezaliman terhadap kita, Allah sedia memberikan keampunannya.


Orang kafir yang menolak beriman dengan Allah dan rasulnya.  Atau, cuba memisahkan keimanan kita terhadap Allah dan rasul-Nya. Atau cuba mencadangkan: Hari ini kami menyembah Tuhan kamu. Hari esok, kamu pula menyembah Tuhan kami. Ini orang munafik tegar.  Tiada balasan kecuali neraka.


Kalau beriman dengan Allah dan rasul sebagai satu pakej, tanpa membezakan risalah setiap orang dari rasul tersebut, mereka tetap akan mendapat ganjarannya.


Kalau ahlilkitab meminta supaya diturunkan juga kitab untuk mereka, Allah anggap itu masih  peristiwa kecil. Malah mereka pernah mencabar nabi Musa supaya mereka diberi peluang melihat wajah Tuhan. Masa itu juga gempa kuat berlaku, mereka terus pengsan. Kemudian mereka mencipta pula Tuhan anak lembu dari  emas. Namun Allah maafkan mereka.


Mereka tidak pernah menunaikkan janji dibuat. Mereka tolak Taurat dan Injil, mereka bunuh rasul yang diutus untuk  mereka. Dengan bongkak mereka  mencabar:  Kamu tidak perlu lagi menyeru supaya kami beriman. Hati kami sudah tertetup rapat.


NABI  ISA BUKAN DIBUNUH ATAU DISALIB  (4:156-162)


Apa saja tuduhan liar  ke atas Isa dan ibunya, Maryam semuanya suatu pembohongan besar. Mereka terdiri dari orang kafir. Mereka mendakwa: Kami telah berjaya membunuh Isa al Masih anak Maryam.  Allah membetulkan dakwaan mereka: Isa anak Maryam tidak dibunuh, tidak juga disalib. Yang dibunuh mereka itu, hanya murid Isa yang diubah rupanya seperti rupa Isa. Sebenarnya dakwaan mereka  penuh prasangka dan keraguan. Malah Isa  sebenarnya Allah angkat ke langit, duduk berhampiran dengan-Nya.
 

Tidak ada seorang pun yang mendakwa dirinya ahlilkitab, semua berharap akan mati dalam iman. Isa pula diharap akan memjadi saksi keimanannya.  


Allah beritahu, empat  kezaliman yang dilakukan Yahudi.  Mengharamkan bahan makanan yang dihalalkan Allah.  Menyekat manusia dari mengingati Allah. Mengambil keuntungan berlebihan dalam perniagaan melalui penipuan. Merampas dan mencuri harta manusia lain secara salah. Allah janjikan mereka dengan azab neraka.


Adapun mereka yang berilmu, beriman dengan semua kitab yang diturunkan Allah, terus mendirikan solat dan mengeluarkan zakat serta yakin dengan hari akhirat, mereka semua akan diberikan  pahala berganda.


SEMUA RASUL DIBERI  WAHYU MEMIMPIN UMATNYA (4:163-169).


Semua rasul diutus, dibekalkan dengan wahyu, seperti Nuh, Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub,  Isa, Aiyob, Yunus, Harun, Sulaiman dan Daud yang diberikan Zabur. Hanya beberapa rasul saja yang diberitahu kepada Muhamad. Ada juga rasul yang tidak disebutkan. Akhirnya Allah ceritakasn tentang Musa yang diberi peluang bercakap dengan-Nya.
 

Allah beri perakuan tentang penurunan al Quran kepada Muhamad, menjadi sumber utama semua jenis disiplin keilmuan. Kebenaran ini diberikan juga oleh para malaikat. Namun kesaksian Allah saja yang benar. Kerana itu dikatakan orang kafir yang mencegah manusia melakukan ibadat untuk mendapat keredaan Allah adalah orang sesat dan menyesatkan.
 

Bagi mereka yang kafir dan melakukan kezaliman, Allah tidak akan beri keampunan ke atas mereka. Malah tiada juga petunjuk disediakan kecuali petunjuk jalan yang menuju ke neraka jahanam. Kekal abadi di dalamnya.


SETIAP RASUL ADALAH UTUSAN ALLAH (4:170-175)


Allah mengingatkan manusia, rasul sudah dihantar. Jika beriman dengannya itulah yang lebih baik.  Kalau menolaknya, Allah tetap pemilik apa yang ada di langit dan di bumi.  Jika kita berimann dengan Alllah dan kekal dengannya, kita akan tetap berada di bawah sayap rahmatNya. Lalu diberi petunjuk ke lebuh raya yang lurus menuju ke syurga.




Selasa, 19 Julai 2011

MUHAMAD DIUTUS MEMBAWA AL QURAN

BAB 24

BALASAN UNTUK SI PEMBUNUH (4:91-101)  

Allah bertanya orang beriman: Kenapa kamu masih berselisih pendapat tentang memerangi orang kafir. Bukankah mereka itu, menjadi kafir pilihan sendiri.  Tidak patut kita masih ghairah menolong mereka untuk diberi petunjuk. Padahal mereka itu, sama saja, sama ada diberi petunjuk atau tidak. Terus perangi mereka di mana bertemu. Kecuali mereka yang minta perlindungan. 

Tidak ada sebab orang beriman membunuh orang beriman lainnya. Kalau tidak sengaja, hendaklah mereka membayar diat, memerdahekakan seorang hamba  kepada keluarganya. Kalau tidak,  berpuasa 2 bulan berturut-turut sebagai mengaku bersalah dan taubat.  Jika membunuh dengan sengaja, balasannya tetap neraka jahanam. 

Kerana itu, berwaspada selalu. Kalau ada yang memberi salam, siasat dulu  Jangan cepat menuduh mereka kafir untuk dibunuh dengan  harapan mendapat harta rampasan. Tentulah tidak sama ganjaran antara mereka yang keluar berperang dengan mereka yang tidak keluar.  

Solat adalah suatu kewajipan tetap. Kerana itu Allah mensyariatkan solat masa perang. Pasukan pertama takbir bersama imam pada rakaat pertama. Pasukan kedua bersedia dengan senjata  menghadapi musuh. Bila nabi takbir rakaat kedua, pasukan pertama meneruskan solatnya sampai salam.  Pasukan kedua bertakbir bersama nabi. Bila perang tamat, ingatlah Allah semula semasa berdiri, duduk dan berbaring kerana solat itu telah ditetapkan 102.  

MUHAMAD DIUTUS MEMBAWA AL QURAN  (4:105-130) 

Allah turunkan al Quran kepada Muhamad, menjadi asas berhukum sesama manusia seperti diajarkan Allah. Jangan kita mengkhianatinya. Jangan pula cuba berdebat dengan pengkhianat, Allah tidak suka dengannya. Mereka hanya dapat bersembunyi dari manusia saja, tidak dari Allah. Kerana Allah sentiasa berada bersama-sama kita. Mereka hanya pandai berhujah tentang persoalan hidup dunia saja, tidak tentang hidup akhirat. Kalau mereka minta ampun, Allah sedia ampunkan. Kalau tidak  kerana rahmat Allah, nescaya kita telah disesatkannya.

Tidak ada bisikan yang dibenarkan selain dari berbisik untuk kebajikan, berbuat baik dan perdamaian. Jika kita lakukannya, Allah sediakan pahala berganda. Siapa yang menentang rasul selepas turun al Quran, mereka akan dimasukkan  ke neraka. Tiada keampunan Allah berikan. Kerana mereka bertuhankan syaitan. Semuanya akan ke neraka.   

Kalau ada yang ingin tahu tentang kedudukan wanita, nabi menjawab: Semuanya telah tercatat dalam al Quran. Termasuk anak  yatim  yang tidak mempunyai  apa-apa habuan.  Kalau tidak, uruskan kebajikan mereka. Kalau ada isteri yang bergaduh dengan suami, damaikan mereka.  Jika kita melakukan kebajikan dan bertakwa, Allah tahu apa yang kita niatkan.

Sebenarnya kita tidak akan mampu berlaku adil dengan isteri kita, walau macam mana pun kita cuba. Berdamai lebih baik dan terus bertakwa. Kalau berpisaah, Allah telah tentukan bahagiannya.  


MANUSIA LEBIH CENDERUNG KEPADA  DUNIA (4:131-137) 

Allah memiliki apa saja yang terdapat di langit dan di bumi. Kepada ahlilkitab juga Allah  berpesan supaya bertakwa. Kalau menolaknya, Allah tetap maha kaya lagi terpuji. Kalau Allah mahu, Dia boleh hapuskan mereka dan gantikan dengan generasi baru. Kalau mereka mahu kebajikan dunia, tapi  bagi Allah kebajikan ada dunia dan akhirat.  

Kerana itu, Allah mahu kita, orang beriman menegakkan keadilan walapun terhadap diri sendiri atau keluarga tanpa mengira kaya atau miskin. Jangan sekali-kali ikut perasaan dan kehendak nafsu. Teruskan beriman dengan Allah, rasul,  dan kitab yang diturunkan. Siapa yang menolaknya, bermakna mereka telah menempah kesesatan.


ORANG MUNAFIK TEMPATNYA DI KERAK NERAKA (4:138-152) 

Bagi mereka yang beriman kemudian murtad. Kemudian beriman dan murtad lagi. Tiada lagi petunjuk  dari Allah. Apakah mereka mahu menunjukkan kekuatan, padahal Allah saja yang maha berkuasa. 

Orang munafik pernah menipu Allah. Sebenarnya mereka menipu diri sendiri. Bila mendirikan solat tidak sungguh-sungguh. Hanya ingin menunjuk-nunjuk.  Siapa yang sesat, semua jalan  sudah tertutup untuk mereka.  Kerana itu jangan pula menjadi kafir sebagai sahabat. 142  

Allah tegaskan, orang munafik tempatnya di kerak neraka. Tanpa apa-apa pertolongan lagi. Kecuali mereka sempat taubat, berbuat baik, terus beriman dengan ikhlas dan mengamalkan cara hdup Islam. Mereka tetap akan mendapat balasan berganda di akhirat. Bukan menjadi dasar  Allah mengazab mereka yang beriman dan bersyukur kepada-Nya.