Rabu, 9 Februari 2011

BAB 3: Surah al Fatihah


1
SURAH AL FATIHAH
(7 ayat)

Mulai BAB 3 ini, ayobyasin.blogspot.com  akan menemui pembaca dengan tema: Memahami al Quran mengikut Sensitiviti Melayu.
(al Fatihah 1:1-7)

Allah mahu kita memulakan setiap perbuatan baik dengan
Bismillahirrahmanirrahim  (Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang).

KITA PERLU BERSYUKUR KEPADA ALLAH

            Kita perlu bersyukur, memuji Allah dengan 4 sebab utama.

Kerana Dia pemilik langit dan bumi, di mana kita dihidupkan. Di langit terdapat bulan, bintang dan matahari. Di bumi terdapat tumbuh-tumbuhan, ternakan dan ikan.

Diturunkan hujan dari langit, sumber minuman kita. Ditumbuhkan bijiran di bumi, sumber makanan kita. Diserapkan cahaya matahari di bumi, sumber haba memanaskan tubuh kita  Ditiupkan angin dipermukaan bumi, sumber pernafasan kita.

Kerana Dia Maha Pemurah.  Menyediakan rezeki yang melimpah-ruah  menjadi sumber makanan kita. Mana yang tidak boleh dimakan Allah sediakan untuk dijadikan ubat. Jangan ikutkan gelagat syaitan (al Baqarah 2:168).

Kerana Dia Maha Pengampun. Allah sedia mengampunkan dosa  kita. Mana yang ada kaitan dengan iman, Dia suruh kita taubat (at Tahrim 66:8). Mana yang ada kaitan dengan amal, Dia suruh kita minta ampun (Nuh 71:10).

Kerana Dia pemilik  alam akhirat. Di mana kita akan berhimpun di depan Allah selepas kematian di alam dunia. Dia akan menentukan untung nasih kita. Apakah kita layak kembali semula ke syurga menemui-Nya. Atau, kita terpaksa dimasukkan ke neraka, menerima azab yang pedih.

BUKTI  KITA BERSYUKUR 

Tanda kita bersyukur, Allah saja yang kita sembah melalui solat lima waktu. Kerana Dia yang menjadikan kita  berasal dari satu, Adam. Lalu diberikan isteri, Hawa  untuk hidup bersama. Hasilnya lahirlah anak yang ramai.

Satu lagi tanda kesyukuran ialah, kita tidak minta kepada Tuhan yang lain, dari-Nya. Kita tidak minta dari Tuhan yang kita jenamakan sendiri. Kerana objek itu, kalau memandang, ia tidak nampak. Kalau kita bercakap, ia tidak mendengar. Kalau kita minta pun, ia tidak akan beri. Ia tidak  mempunyai apa-apa kuasa.

APA HARAPAN KITA KEPADA ALLAH

            Allah membimbing kita supaya minta dua perkara asas. Pertama minta supaya kita diberi petunjuk jalan yang diikuti oleh para anbiak dan mursalin. Juga oleh para aulia dan solihin.

            Anbiak, pemimpin rohani pilihan Allah. Menjadi ikon untuk memudahkan Dia menurunkan rahmatnya ke alam dunia. Apa yang dilakukan semuanya wahyu dari Allah untuk dirinya sendiri saja. Ilmunya ladunni. Renungannya, kasyaf.

            Mursalin, pemimpin jasmani pilihan Allah. Menjadi ikon untuk memudahkan Allah menurunkan petunjuk-Nya ke alam dunia. Menjadi contoh untuk diikuti manusia. Apa yang dicakapkan semua wahyu dari Allah untuk disampaikan.

            Berfungsi untuk membentuk akidah yang sebenar. Mengajar kita cara ibadat yang betul. Membina masyarakat yang adil dan saksama. Menyempurnakan akhlak yang mulia dan memberitahu  tentang hidup selepas mati dan kiamat. 

            Aulia, pemimpin rohani izin Allah ke atas mereka yang berjihad  untuk sampai kepadanya. Ia dikenali sebagai waliullah. Kini digambarkan sebagai ahli sofi. Ia merupakan pemimpin rohani selepas wafat Rasulullah. Menjadi ikon untuk membuatkan Allah berasa masih lagi perlu menurunkan rahmatnya ke alam dunia.

 Sekurang-kurangnya, memastikan kalimah syahadah yang berada dalam rohani manusia masih lagi bercahaya. Memberi harapan petunjuk kepada rohani bayi yang akan dilahirkan, sama ada sah atau tidak. Kalau golongan ini sudah  hapus, bermakna tidak ada cahaya syahadah yang memancar  di dunia, Ketika itu, tiada lagi sebab Allah hendak menguruskan alam dan kehidupan manusia: Kiamat akan berlaku apabila al Quran telah terhapus dari dada para ulamak.

Solihin, Namun demikian, Allah izin beberapa orang yang ada ciri-ciri kewaliannya, menjadi pemimpin jasmani sebagai altenatif kepada kepimpinan rasul. Walaupun tidak sampai ke tahaf para wali dan orang soleh, numun Allah masih mengiktiraf mereka sebagai pemimpin yang berpotensi menjadi soleh.

Mungkin pada tahap yang minimum. Kalau berniat hendak membuat baik, diberi satu pahala. Kalau dilaksanakan sebagai diniatkan, ditambah lagi sepuluh pahala.

Atas kapasiti ini Allah perintahkan: Taat pada Allah, rasul dan pemimpin semasa kamu.  Tentulah Allah mengiktiraf kelemahan manusia. Kalau pemimpin itu kafir, mereka tetap ada potensi beriman. Kalau pemimpin itu berdosa, mereka masih berpotensi meninggalkan dosa untuk menjadi pemimpin yang soleh.  

Ia boleh berlaku, jika kita selalu bermohon supaya dihindarkan dari corak kepimpinan Yahudi yang dimurkai Allah. Juga dari  corak kepimpinan Nasrani yang sesat. Bermaksud minda kita tidak lagi dikuasai oleh isme tajaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan