BAB 18
RASUL MENERIMA AMANAH ALLAH (3:75-91)
Ada ahlilkitab, bila diamanahkan sesuatu, mereka akan tetap kembalikan semula. Ada pula, walau diamanahkan satu dinar, mereka akan khianati. Mereka mendakwa: Tiada dosa untuk kami kalau dilakukan ke atas orang bukan Yahudi.
Siapa yang menjual amanah diberikan, di akhirat mereka tidak dapat apa-apa. Allah akan masukkan mereka ke neraka. Siapa yang mengubah kitab yang diterimanya, kemudian mengatakan ia dari Allah, mereka adalah pembohong besar.
Tidak ada para rasul yang diberikan kitab akan mendakwa: sembahlah aku, atau selain dari Allah. Ia samalah kita menyuruh mereka menyembah malaikat dan para nabi sebagai Tuhan.
Allah pernah menerima ikrar Bani Israil. Mereka akan beriman dengan Taurat dan Injil. Mereka juga berjanji akan beriman dengan al Quran yang dibawa Muhamad. Bersedia untuk membantu menyibarkannya. Kerana ia memperakukan apa yang terdapat dalam Taurat dan Injil. Tapi mereka mengkhianati ikrar tersebut.
Allah bertanya mereka: Apakah kamu memilih cara hidup yang lain dari cara hidup yang Allah tentukan sendiri. Padahal, semua yang ada di langit dan di bumi semuanya taat kepada-Nya dan akan kembali semula kepada Allah.
Nabi menyeru mereka, berimanlah dengan Allah dan wahyu yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan keturunannya. Termasuk percaya kepada apa yang diterima oleh Musa dan Isa. Kerana tiada perbezaan misi mereka yang mengajak mentauhidkan Allah. Isytiharkan diri, kita adalah orang Islam.
Siapa yang mengikut cara hidup lain dari cara hidup Islam, Allah tidak akan mengiktirafnya. Di akhirat nanti mereka dalam kerugian. Kerana mereka murtad selepas mendapat petunjuk Muhamad dan al Quran. Mereka sedemikian rupa akan dilaknat Allah, malaikat dan manusia seluruhnya. Siapa yang kafir selepas beriman dan mati dalam kafir, taubat mereka tidak akan dterima lagi. Walaupun dilonggokan harta setinggi gunung sebagai tebusan.
DIBINA KAABAH MENJADI PAKSI IBADAT MANUSIA (3:93-115)
Tiada keberkatan bersedekah kecuali kita gunakan dari harta yang kita sayang. Setiap makanan semuanya dihalalkan, kecuali yang diharamkan Bani Israil untuk diri mereka sendiri sebelum Taurat diturunkan. Siapa yang melakukan pembohongan terhadap Allah selepas itu, mereka orang zalim. Nabi menyeru: Semua yang Allah katakan adalah benar. Ikutlah cara hidup yang dibawa oleh Ibrahim. Dia bukan orang musyrikin,
Dialah yang mula-mula membina Kaabah di Mekah, penuh keberkatan dan petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat, makam (kesan tapak kaki) Ibrahim sebagai bukti. Menjadi paksi ibadat solat. Siapa yang memasukinya akan aman. Lalu diwajibkan manusia menunaikan haji jika ada kemampuan. Siapa menolak, ia tidak menjejaskan kuasa Allah. Dia tetap maha kaya.
Orang beriman diingatkan, jika kita terpengaruh dengan dakyah ahlilkitab, mereka akan bawa kita menjadi kafir semula. Macam mana ia boleh berlaku, bukankah mereka mempunyai Taurat dan Injil yang dibawa Musa dan Isa. Kalau mereka berpegang teguh dengan keimanan pada Allah, mereka tetap akan diberi petunjuk ke jalan yang lurus. Kerana itu, bertakwalah dengan sebenar-benar takwa. Jangan bercita-cita kecuali mati dalam Islam.
Berpegang teguhlah dengan kalimah syahadah, jangan sekali berpecah belah. Ingat pada nikmat yang kita terima. Gunakan untuk mendamaikan dua pihak yang bergaduh. Di Mahsyar nanti, bila hendak jatuh ke neraka, Allah selamatkan kita. Itulah cara Allah menunjukkan tanda kekuasaannya dengan harapan kita akan mendapat petunjuk.
Kerana itu jadikanlah diri kita sebagai satu umat yang suka mengajak ke arah kebajikan dan menjauhkan dari kemungkaran. Jangan kita cenderung melakukan kejahatan sesudah diturunkan al Quran. Di akhirat nanti, akan ada muka yang ceria. Ada pula yang hitam legam. Mereka ditanya: Kenapa kamu menjadi kafir. Tiada jawapan diberikan. Allah berkata: Kalau begitu, rasakan azab neraka yang kamu tolak itu.
Siapa mukanya putih berseri berada di bawah naungan rahmat Allah. Kekal dalam syurga. Ini satu lagi tanda kebenaran kekuasaan Allah. Dia tidak akan lupa dengan setiap perbuatan kita.
JADILAH UMAT YANG SUKA PADA KEBAJIKAN (3:109-120)
Semua yang ada di langit dan di bumi milik Allah. Semuanya akan kembali semula kepada-Nya di akhirat nanti. Kerana itu, jadilah satu umat yang beriman, menggalakkan orang lain melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan