Isnin, 21 Mac 2011

KAABAH, RUMAH ALLAH DI DUNIA

BAB 9

PERPINDAHAN KIBLAT KE KAABAH (2:142-152)

Apabila Allah menunaikan permintaan Muhamad, supaya kiblat solat dipindahkan ke Kaabah, di Mekah  orang Yahudi dan Nasrani gempar seketika. Sehingga orang bodoh di kalangan mereka turut sama mempersoalkannya. Nabi menjelaskan: Dari timur hingga ke barat, semuanya milik Allah. Dia berhak memberi petunjuk siapa saja yang dikehendaki-Nya untuk kembali ke syurga.

Itulah satu cara Allah  mahu lahirkan umat pertengahan dari kalangan umat Muhamad. Sebagai altenatif kepada perbuatan melampau kaum Yahudi dan Nasrani.  Ia akan menjadi saksi kepada manusia seluruhnya  di dunia. Sementara Nabi Muhamad pula akan menjadi saksi kepada manusia di akhirat nanti.

Tidak Allah terima pemohonan nabi, kecuali untuk membuktikan, siapa yang menerima seruan nabi, siapa pula yang menolaknya.  Sebenarnya, ia bukanlah suatu  yang susah untuk dilakukan  jika mereka sudah mendapat petunjuk Allah. Bukanlah menjadi dasar Allah untuk menyempitkan iman seseorang setelah mendapat petunjuk-Nya.  Kerana Allah tetap sayang kepada hamba-Nya, manusia.

Sejarah perpindahan ini, apabila Allah kerap melihat nabi menadah tangan ke langit  memohon  supaya arah kiblat ke Baiutilmuqadis ketika itu dipindahkan ke Kaabah, di Mekah, Allah memberikan persetujuannya: Sekarang, hadapkanlah solatmu ke arah Masjidilharam. Malah, di mana saja kamu berada hadapkan saja ke arahnya. Sebenarnya, Yahudi dan Nasrani itu sengaja  mempersoalkannya. Mereka  tahu ia adalah perintah Allah. Dia tidak akan  lupa dengan gelagat mereka ini di akhirat nanti.

Allah mengingatkan nabi dan orang beriman. Kalau kita tunaikan setiap permintaan  mereka, mereka tidak juga akan mempercayai kita.  Kerana itu,  jangan layan lagi kehendak mereka:  Nanti kita pula disisih oleh Allah.

Sebenarnya, setiap umat yang pernah menerima kitab dari Allah, mereka mesti tahu hakikat ini. Sama seperti mereka mengetahui anak pinak mereka. Hanya ia sengaja disembunyikan oleh ulamak mereka bagi mengelirukan pengikut mereka. Yang benar tetap dari Allah. Jangan sekali-kali kita meraguinya.    

Setiap umat yang diutus rasul, Allah sediakan kiblatnya sendiri. Yang penting di sisi Allah ialah mereka perlu membuat kebajikan, meninggalkan kejahatan. Di akhirat nanti, semua akan dihimpunkan semula di hadapan Allah.

Kerana itu, terus mendirikan solat. Di mana saja kita berada, hadapkan muka ke arah masjidilharam. Kerana perintah Allah adalah benar, walau pun  tidak terjangkau fikiran.  Allah tidak akan lupa dengan apa kita lakukan.

Malah, di mana saja kita berada di bumi ini, hadapkan saja muka kita ke arahnya. Jangan sampai nanti, ada yang mempersoalkan solat kita tidak menghadap ke Masjidilharam. Kecuali mereka itu orang munafik. Jangan sekali-kali takut kepada mereka, takutlah kepada Allah. Nescaya kita akan dilimpahi nikmat-Nya. Mudah-mudahan kita akan mendapat petunjuk.

Samalah seperti yang telah berlaku ke atas para rasul yang diberikan kitab sebelum Muhamad. Mereka menyampai wahyu dari Allah. Mengajar cara membersihkan diri: rohani, jasmani dan akal. Seterusnya mengajar kita beberapa ilmu dan mendidiknya, sehingga kita tahu apa yang kita tidak tahu.

Kerana itu, ingat selalu kepada Allah, nanti Allah akan ingat kepada kita. Bersyukurlah kepada Allah, jangan pula membisukan diri dari nikmatnya. Teruskan minta kepada Allah, tetapi jangan lupa mendirikan solat. Allah tetap akan bersama, selagi kita bersabar.

NIKMAT DAN BENCANA, DUGAAN ALLAH (2:153-162)

Jangan kita melebihkan hidup keduniaan, sehingga sanggup mengatakan para sahabat yang mati syahid itu sudah mati. Padahal mereka masih hidup di sisi Allah, hanya kita saja yang tidak memahaminya.  Sama seperti kita tidak dapat memahami bahawa takut, lapar, kecurian,  kematian dan limpahan kekayaan itu sebagai dugaan.  Beruntunglah jika kita bersabar kerana menganggap semuanya itu cubaan dari Allah.

Setiap kali ditimpa musibah, kita harus meyakini: Aku datang dari Allah, kepada-Nya jua aku kembali.  Mereka pasti akan mendapat keberkatan hidup dan rahmat dari-Nya. Mereka itulah yang berpotensi mendapat petunjuk Allah untuk kembali semula ke syurga.

Begitu juga dengan sai’ di antara Safa dengan Marwah. Lagi besar dugaan Allah berikan kerana ia merupa jihad menegakkan syiar Ilahi. Kerana itu, siapa yang menunaikan ibadat haji dan umrah diwajibkan kita melaksanakan amalan tawaf di Kaabah, kemudian diikuti dengan amalan sai di antara Safa dan marwah.  Siapa yang mahu mengerjakan haji dan umrah selepas itu, kita kena juga melakukan perbuatan yang sama, sebagai melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah.

Siapa yang cuba melupakan beberapa ayat atau memberikan pemahaman yang kontra dengan apa yang ditentukan dalam al Quran, mereka akan dilaknat Allah dan manusia seluruhnya. Kecuali mereka sempat taubat dan membuat kebajikan di dunia, Allah sedia memberikan keampunan-Nya.

Jika mereka masih kekal  dengan perbuatannya dan  terus mati dalam mood prasangkanya, mereka akan dilaknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya. Kekal di neraka menerima azab tanpa mendapat apa-apa pertolongan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan