ALLAH CUBA SEDARKAN MANUSIA (2:163-173)
Allah memberitahu kita, Dia adalah Tuhan yang satu. Tiada Tuhan yang lain darinya. Itulah Tuhan Maha Pemurah, menyediakan makanan untuk kita. Dia juga Maha Pengampun, sedia mengampunkan dosa kita.
Ada pun, kejadian langit dan bumi; pertukaran siang dengan malam; belayarnya kapal di lautan; turunnya hujan dari langit; bertiupnya angin yang memindahkan awan, adalah bukti yang jelas untuk orang yang berakal. Memikirkan tentang keunikan ciptaan Tuhan. Tentu ia untuk kepentingan hidup dunia manusia.
Tetapi masih ramai yang tidak bersyukur dengannya. Masih mahu menjadikan yang lain dari Allah sebagai Tuhan. Memuliakannya, sama seperti memuliakan Allah. Kalaulah mereka ternampak azab yang bakal diterima di akhirat nanti, barulah mereka merasakan semua kemuliaan itu adalah milik Allah sahaja. Azab-Nya bukan sebarang azab. Sementara, Tuhan yang disembahnya pula terus menjauhkan diri.
Masa itu baru mereka akan menyumpah-nyumpah penuh kesal: Kalau kami diberi peluang kembali ke dunia, nescaya kami tidak akan mengikut mereka lagi, seperti mana mereka meninggalkan kami sekarang. Demikian caranya Allah menggambarkan kekesalan mereka. Namun mereka tetap juga ke neraka, kekal abadi di dalamnya.
Kerana itu Allah mengingatkan manusia, supaya memakan bahan yang terdapat di bumi dari jenis yang baik dan halal. Jangan sekali-kali ikutkan kehendak syaitan. Kerana syaitan itu memang kerjanya menyuruh kita membuat kejahatan dan perbuatan keji. Di samping bercakap dengan perkara yang kita masih samar-samar. Penuh prasangka dan keji mengeji.
Seumpama, bila diseru: Berimanlah dengan al Quran yang diturunkan kepada Muhamad. Mereka menjawab: Kami hanya beriman dengan apa yang telah diimani oleh ibu bapa kami saja. Walaupun keduanya tidak tahu apa-apa, malah tidak juga boleh memberi petunjuk.
Allah umpamakan mereka ini, sama seperti kambing. Walau sekuat mana diseru oleh penggembalanya, ia tidak mendengar apa-apa selain dari bunyi suara. Mereka ini, ada telinga, sudah tuli. Ada mulut, sudah bisu. Ada mata, sudah buta. Mereka tidak lagi mampu memikirkannya lagi.
Untuk itu, Allah berpesan pula kepada orang beriman. Makanlah bahan yang baik dari rezeki yang kita usahakan sendiri. Bersyukurlah dengan nikmat tersebut kalau kita benar-benar menyembah Allah.
Kemudian Allah menggariskan pula jenis bahan yang diharamkan. Kita diharamkan memakan bangkai, darah, daging babi, sembelih bukan kerana Allah. Tetapi, kalau dalam keadaan terdesak, kita dibolehkan memakannya sekadar perlu. Sementara mendapatkan makanan yang halal. Allah sedia memberikan keampunannya.
JANGAN MEMANIPULASI AYAT QURAN (2:174-182)
Siapa yang cuba memanipulasi ayat al Quran untuk tujuan keduniaan, di akhirat nanti perut mereka akan dipenuh bara api. Allah tidak sudi lagi berjumpa dengan mereka, malah tiada lagi peluang mereka menyucikan diri dari dosa. Mereka tetap masuk neraka.
Allah umpamakan mereka seperti saudagar yang membeli kesesatan dengan petunjuk. Atau membeli azab dengan keampunan. Allah menyindir, mereka seolah-olah tidak sabar-sabar lagi hendak ke neraka.
Allah perbetulkan persepsi kita tentang kebajikan. Kebajikan yang sebenar bukan saja mendirikan solat. Malah ia mesti bermula dengan beriman dengan Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi. Diikuti dengan membelanjakan harta milik kita yang halal untuk kaum keluarga, anak yatim, orang miskin, orang musafir, peminta sedekah dan hamba yang mahu memerdahekakan diri.
Kemudian terus menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Diakhiri dengan sikap positif. Menunaikan janji dibuat dan bersabar semasa ditimpa kesusahan. Inilah ciri-ciri mereka yang benar-benar membuat kebajikan di dunia. Mendapat kemenangan di akhirat nanti.
Untuk itu Allah izinkan kita menuntut qisas bila ada saudara kita dibunuh mengikut statusnya. Merdaheka dengan merdaheka, hamba dengan hamba, perempuan dengan perempuan. Siapa yang mendapat kemaafan dari keluarga si mati, berikan pampasan yang sewajarnya. Inilah satu keringanan diberikan Allah kepada pihak yang membunuh. Siapa yang cuba menyalahi ketetapan ini, mereka adalah penghuni neraka.
Kerana setiap pembunuh itu mempunyai tanggungjawab ke atas perbuatannya. Di atas dasar, mereka dibenarkan berwasiat harta miliknya ke atas kaum kerabatnya cara berpatutan, sebagai seorang bertakwa.
Inilah amalan yang sesuai sebagai orang bertakwa. Siapa yang menukar ganti wasiat tersebut, mereka akan tanggung sendiri dosanya. Jika berlaku perselisihan antara mereka, damaikan saja. Ia tidak menjadi kesalahan bagi Allah kerana Dia maha pengampun dan maha penyayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan